Friday, May 22, 2009

TIPS HASIL SERAMA HEBAT SIRI 2 : PILIH GENETIK BAKA SERAMA YANG BERGAYA DI MEJA

Keunikan serama ialah pada gayanya. Gaya serama banyak bergantung kepada genetiknya bukan boleh dilatih secara intensif, diurut / digosok dan sebagainya. Carilah baka yang kuat darah genetik gayanya namun harus diingat kecelaruan dalam menurunkan baka serama akan menghasilkan baka serama yang tidak stabil dari segi gayanya malah yang lahir jika ada yang berpotensi kebiasaannya adalah secara 'terpencil' bukan secara konsisten.

Baka serama yang hebat pastinya secara konsisten akan menjadi jaguh di arena pertandingan bukan kadang-kadang johan dan banyak jua yang tak 'lekat nombor' sebagai gambaran genetik serama kesayangan kita itu ada beberapa masalah yang perlu diperbaiki segera. Harus diingat bahawa aksesori serama boleh direpair, diupgrade dan ditambahbaikan mengikut cita rasa keinginan kita namun 'gaya' serama di meja pertandingan tidak boleh direka cipta semudah melihatnya. Banyak ayam yang hebat aksesorinya namun 'tumbang' di meja pertandingan. Banyak ayam yang hebat di reban atau di sangkarnya namun kecundang di meja pertandingan umpama 'jaguh kampung'.

Sering kali, jua peminat serama terkeliru dengan suatu istilah 'jaguh kampung / reban'. Serama yang 'jaguh reban' hanya hebat di dalam sangkar atau di rebannya namun 'kecut perut', gelisah, ketakutan serba tak kena seumpama rusa masuk kampung apabila berada di arena pertandingan. Serama yang bergaya hebat di meja seperti kata2 ore Kelantan 'Bako Lawe Mejo' ialah baka yang begitu hebat bila di meja pertandingan. Semakin riuh rendah manusia, semakin gegak gempita suara serama pesaingnya di arena pertandingan maka semakin teruja dan ghairah ia menunjukkan gayanya. Justeru itu dimanakah rahsia kehebatannya, semuanya terletak kepada maklumat genetik 'darah pahlawan' yang mengalir dalam tubuhnya.

Gaya serama menurut pandangan saya terbahagi kepada dua iaitu ayam bergaya namun tidak diaktif di meja. Contohnya ayam bergaya tarik lonjak dada atau selam namun tidak aktif bergerak / berjalan di meja atau dengan kata lain 'duduk diam'. Harus diingat kebiasaan ayam yang tidak aktif seumpama ini juga tidak aktif dalam pembiakkan.

Manakala katogeri yang kedua ialah ayam bergaya dan amat aktif di meja. Ia menunjukan lagak gaya bergebas tarik bertubi2 dan aktif bergerak / berjalan di meja seumpama 'menari' mengelilingi meja. Kebiasaan ayam ini amat hebat bergebas dan tarik pacak di meja sambil bergerak mengelilingi meja di arena pertandingan.Ditambah dengan gaya tarik selam & 'jet' (angkat dada) dan sebagainya pasti dianggap mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri di arena pertandingan yang pasti memukau peminat-peminatnya.

Gaya katogeri kedua adalah gaya yang harus dimiliki oleh 'sang juara' kerana ia menampilkan gaya sejati kehebatan serama silam yang dikagumi dalam sejarah serama. Kebiasaan serama yang memiliki gaya seumpama ini akan merangkul gelaran 'Best Of The Best' dalam satu2 pertandingan meninggalkan ayam gaya tarik selam yang tarik &  terus diam biarpun kilat sambar menyambar, guruh gegak gempita.

Justeru itu ciri-ciri gaya serama yang dianggap 'First Class' harus bercirikan berikut :
1. Gaya tarik sekurang2nya kelihatan mata melebihi kaki dan sehebatnya 'muncung /paruh' melepasi kaki.
2. Serama yang banyak bergebas/ berkepak tarik pacak di meja bukan pacak kilas atau kepak silang ke belakang.
3. Gaya dada yang kelihatan menonjol dan terbuka lebar sama aras dengan kepala bahu. Dada harus tinggi melonjak ke atas bukan jatuh di bawah dari kedudukan sepatutnya.
4. Serama yang aktif berjalan dengan penuh bergaya di meja pertandingan melalui gerakan langkah kaki yang tersusun sambil melonjakkan dadanya.
5. Serama yang apabila semakin riuh rendah suara manusia, gegak gempita di meja pertandingan maka semakin 'ghairah' ia ingin menunjukkan lagaknya atau 'Lawe Mejo' (Lawan Meja). Sebenarnya ciri2 baka 'Lawan Meja' boleh dikenalpasti melalui beberapa tanda pada fizikalnya dan pengamatan orang yang berpengalaman.

Sekian, Cetusan Minda : Cikgu Mie Terengganu








1 comment: